Wednesday 15 June 2011

Peringatan Kpd MB Selangor TSKI : Ingat Lagi Surat Ini? 1 Mei 2008


Surat ini ditulis pada 1 Mei 2008 iaitu beberapa bulan selepas TSKI dilantik sebagai MB Selangor. Kerasnya hati TSKI ni ...langsung tak endah peringatan walaupun telah 3 tahun berlalu. 


Surat Terbuka Kepada Tan Sri Khalid
1 Mei 2008
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Reformasi.
YAB Tan Sri,
Tahniah diatas perlantikan Tan Sri Sebagai Menteri Besar Selangor . Sesungguhnya pemilihan Tan Sri adalah langkah yang amat dinanti-nantikan oleh kami semua.
Kini telah hampir dua bulan Tan Sri duduk dipersada kepimpinan negeri, memimpin sebuah negeri yang termaju di Malaysia. Negari yang tersohor kemakmurannya. Jantung hati bagi seluruh negara. Negeri yang menjadi benteng terakhir Barisan Nasional untuk tewas.
Bagaimanapun, sudah disuratkan dalam azali dan ketentuan Allah SWT bahawa keajaiban ini sudah berlaku. Ia nya adalah realiti yang tidak dapat diterima oleh pihak lawan, Barisan Nasional. Ini jelas sekali terbukti melalui rengekan dan tengkaran mantan-mantan pemimpin Barisan Nasional.
Ibarat harimau luka yang tersedar dari lamunan, mereka tidak rela akan hakikat ini. Lantas dan tuntas segala gerakan diatur untuk merampas kembali permata yang hilang, bermula sekarang.
Itulah gambaran ringkas akan segala tindak-tanduk mereka.


Bagaimana pula di pihak kita, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor Pimpinan YAB Tan Sri? Apakah kita bersedia menghadapi segala bentuk terjahan dan terkaman yang bakal singgah sepanjang lima tahun ini sehingga menjelang PRU ke 13 akan datang?


Apakah pedagogi yang bakal dipersiapkan?
Sehingga warkah ini ditulis, kelihatannya Kerajaan Pakatan Negeri ini masih kelihatan goyah. Sentiasa dicabar oleh bekas MB, Khir Toyo yang masih mabuk kuasa. Sehingga kini masih belum ada tindakan tegas dari Tan Sri untuk membersihkan Pentadbiran Negeri ini dari pengaruh Barisan Nasional yang masih menebal dijabatan-jabatan malahan diberitakan masih berleluasa di SUK.
Dalam senario pilihanraya umum yang lalu, untuk pengetahuan Tan Sri, kebanyakan Ketua-ketua jabatan, GLC, dan lain-lain jelas bekerja kuat untuk menyokong Barisan Nasional pada pilihanraya yang lalu. Ramai kakitangan bawahan yang menyokong PR ditekan dan diberi amaran keras.
Ketua-ketua jabatan dan GLC, berbondong-bondong mengiringi mantan MB, Khir Toyo berkempen seluruh santero Selangor.
Menukar-ganti mereka ini bukan perkara besar. Dalam UMNO sekalipun, misalnya ketika Tan Sri Abu Hassan naik sebagai Menteri Besar, orang-orang Mohammad Taib kena tukar. Begitu juga Khir Toyo, ditukar sana, tukar sini sehingga ada yang menyamakan sebagai “menjawakan jabatan” oleh Khir. Itu dalam UMNO lagikan bertukar, apatah lagi bagi kerajaan yang bertukar.
Mengimbau kenangan PR Kecil Ijuk,
Lupakah sudah Tan Sri, bagaimana mereka bertepuk tangan dengan gembira bila Tan Sri tersasul “ Undilah Barisan Nasional” ketika Pilihanraya Kecil Ijuk? Lupakah Tan Sri bagaimana mereka berkampung di sana untuk membenam Tan Sri?
Lupakah Tan Sri bagaimana Najib Razak menghina Tan Sri dengan tuduhan melulu. Sedangkan saya berpendapat Tan Sri adalah seorang wira Negara, satu satunya anak Melayu yang ‘single-handedly’ melakukan dawnraid’ di London hingga membawa sekaligus Konglomerat Guthrie pulang ke Malaysia sekaligus membuat Perdana Menteri Britain Margharet Thatcher termangu-mangu sehingga menggubal undang-undang supaya tidak berlaku lagi seumpamanya. You are the first and the last!
Tidak ada insan lain yang melakukan ini, tidak Mahathir, tidak Dolah Badawi, tidak Najib, tetapi Tan Sri Khalid, budak kampong bergelar Sahak yang melakukannya.
Lupakah Tan Sri bagaimana UNISEL dipergunakan sebagai kem politik untuk mengalahkan Tan Sri? Lupakah Tan Sri bagaimana Universiti ini di jadikan pusat oleh PEMANTAU diketuai oleh Razali Agus, semata-mata membenamkan Tan Sri? Hari ini diberitakan NC Unisel ini begitu intim dan direct access kepada Tan Sri?
Mengimbau lagi kenangan PR Kecil Ijuk,Tahukah Tan Sri betapa hinanya petugas PR diejek dan dilempar botol oleh konco Khairy Jamaluddin dan pemuda UMNO? Pekerja parti dihenyak dan acapkali hampir berlaku pertempuran. Dalam pilihanraya yang baru, ada seorang pemimpin kecil dari kaum India, seorang petugas parti ditawarkan RM30 ribu untuk memujuk kaum India diestet mengundi BN tetapi dia menolak dengan alasan yang munasabah iaitu, maruah dan ikatan janji setia bersama PAS dan Keadilan.
Kehebatan yang mereka tunjukkan sangat hebat, sehinggakan calon-calon BN tidak dapat memasuki kawasan estet dan perumahan. Malah ada yang sanggup membaling telur busuk kepada calon BN seperti yang berlaku di DUN Melawati. Mereka bekerja keras walaupun untuk memenangkan calon yang tidak pernah dikenali.
Kembali kepada senario semasa,
Terbaharu, diberitakan bahawa pihak Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk melantik muka-muka BN dalam barisan Ahli Majlis Daerah. Bagaimanakah ini boleh berlaku jika ianya benar?
Pandangan yang bagaimana yang diterima untuk melantik mereka? Adakah pandangan kedua malah ketiga diambil kira?
Mahukah individu dari UMNO atau BN menerima perlantikan ini? Pastinya mereka akan merujuk kepada UMNO dan melalui pengalaman di Pulau Pinang, ahli Gerakan tersebut sudah komited dan sanggup keluar parti. UMNO bagaimana? Tentunya akan menjadi tekanan bagi mereka. Adakah tokoh UMNO yang dilantik akan menerima sewenang-wenangnya.
Bagaimana pula perasaan pendokong parti, petugas hardcore yang sanggup bertungkus lumus meletakkan masa depan mereka sebagai risiko tinggi ketika berkempen?. Saya sendiri meletakkan risiko tutup kedai sekiranya Pakatan tewas, manakala ada sahabat saya menutup awal-awal perniagaannya apabila membuat keputusan untuk berada dibarisan hadapan memastikan kemenangan Barisan Rakyat pada PRU ke 12 yang lalu.
Hairan, bila Barisan Nasional berbuat apa-apa sahaja, siapa yang menegur? Siapa yang berani? Mengapa, Pakatan Rakyat mahu berbuat apa sahaja perlu sangat mengambil kira pandangan dari pihak mereka.
Tukar satu pegawai riuh-rendah seluruh Negara, seperti yang berlaku di Perak. Pokoknya bagi BN, Pakatan Rakyat ini tidak ada yang betul. Jika diambil orang BN, mereka kata kita idak ada orang pandai. Jika tidakpun mereka akan kata kita takut untuk bertransparent. Semua tidak kena.
Mungkin terdapat Ketua Jabatan yang suka jika ada kalangan BN memegang jawatan dalam jabatan seperti Ahli Majlis dan sebagainya. Mungkin mereka sendiri yang mencadangkan perlunya kehadiran kalangan luar.
Halusi mengapa? Mungkin mereka mahu perlindungan dan berpayung serta menutup kesilapan mereka yang lalu yang menyalahgunakan kuasa, mengujudkan kronisma, nepotisma dan menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi. Bagaimana hendak membuat keputusan majoritas kiranya berlaku pertelagahan pendapat lantaran berlainan fahaman. Tambahan lagi mereka sudah biasa mengutamakan kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat.
Bagi badan badan kerjaaan negeri seperti PKNS, KDEB dan lain-lain anak syarikat perlu disusun semula dengan segera mengikut kebijaksanaan Tan Sri yang sangat arif dalam pengurusan korporat bersaiz mega.
Melalui kes Balkis kita dapat memahami ketidaklangsungan pengurusan dalam badan yang terlibat, PKNS. Lihat sahaja, bagaimana PKNS berurusan secara semberono menjualbeli tanah secara kontra bayarannya. Hairan, jual kepada Balkis, urusan bayaran antara kerajaan negeri dan PKNS. Jika Harun Hashim seorang CEO yang berintegriti, dia wajib kehadapan membuat kenyataan umum membersihkan PKNS dalam isu ini.
Saya bukan ahli korporat besar, tetapi saya yakin, cara itu tidak betul seratus peratus.
Sehingga kini, perkara yang sudah terang lagi bersuluh ini masih belum ada laporan polis dibuat terhadap pasangan suami isteri, Khir Toyo dan Zaharah Kecik. Rakyat menunggu.
Kalau boleh dipelajari dari sejarah kejatuhan UMNO khususnya dan BN amnya, dari banyak isu dan masalah serta pelbagai ulasan, pandangan, pendapat dan rungutan yang timbul, beberapa isu kecil pada pandangan pimpinan mereka, telah tidak diambil perhatian dan tindakan sewajarnya, seperti tajuk di atas tadi, iaitu pandangan kedua dan ketiga dan seterusnya tidak dipedulikan. Akibatnya, apa yang sedang dilalui oleh mereka sekarang.
Bagi saya untuk melakukan sesuatu yang besar dan hebat tidak ada senjata yang lebih besar melainkan kebijaksanaan, keberanian dan tawakkal. Sebagaimana kita melalui pilihanraya lalu yang penuh getir tetapi kita bijak, berakal, sabar dan berani serta bertawakkal. Masih terang dan jelas seruan yang dilaungkan semasa kempen.
“Ayuh, marilah merubah. Kita mesti berani untuk berubah”
Saya tahu, memberi pandangan terbuka seperti ini berisiko dan dianggaprebels of the party. Tetapi saya tetap berpegang kepada seruan pemimpin termasuk Tan Sri sendiri iaitu ‘check and balance’.
Jika saya hendak diambil tindakan kerana teguran yang sebegini, saya reda dan pasrah menghadapinya.
Saya pasrah kerana saya tidak akan hilang apa-apa lantaran sudah biasa sebagai pembangkang tidak mendapat apa-apa. Namun saya akan terus bersoal, kenapa dan mengapa selagi nyawa mengikat badan.
Saya berharap pandangan yang diketengahkan dan tertera di atas tadi, harus disoroti, diambil cakna dan ditangani segera oleh semua peringkat pimpinan. Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak berniat mengajar, tetapi hanya menyampaikan kegelisahan arus bawahan.
Segala ketelanjuran saya, saya memohon ribuan ampun dan maaf. Segala yang sempurna itu adalah dari Allah SWT adanya. Segala kekurangan itu adalah dari saya hamba yang daif.
Sekian, Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Reformasi.Takbir.
Makkal shakti.
Mohamad Fesal bin Idris,
Ahli Seumur Hidup PKR Kuala Selangor.

No comments:

Post a Comment